Sebab Utama Perpecahan

Written by | Opini

Oleh: Khalif Muammar*

RetakInpasonline.com-Sebelum kita berbicara tentang perpaduan dan jalan ke arah perpaduan, amat penting kita memahami terlebih dahulu sebab-sebab berlakunya perpecahan. Walaupun terlampau banyak untuk dibahas satu persatu namun kita dapat batasi pada perkara asasi yang menjadi penyebab kepada yang lain.

Dalam al-Munqidh min al-Dalal, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa di akhir zaman ini umat Islam menghadapi cabaran yang getir berhadapan dengan pelbagai penyelewengan dan kekeliruan sehingga diibaratkan seperti seseorang yang berenang di tengah lautan yang bergelora, dalam keadaan seperti ini hanya petunjuk dan pertolongan Allah sahaja yang dapat menyelamatkannya.

Beliau juga mengutip hadith Rasulullah saw yang menyatakan bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, di mana hanya satu golongan sahaja yang selamat. Oleh yang demikian tidak hairanlah apabila kita saksikan bahawa terdapat ramai manusia yang tenggelam dalam lautan kekeliruan, hilang arah, tiada pedoman hidup dan menuhankan hawa nafsunya.

Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tentunya tidak akan membiarkan manusia berada di dalam kegelapan, Allah SWT telah mengutus para nabi dan Rasul untuk membimbing umat manusia. Melalui petunjuk, hidayah, dan ilmu yang diberikan oleh Allah kepada para nabi ini manusia mampu mencapai kebenaran yang pasti tentang hakikat kehidupan. Setelah ketiadaan Nabi Muhammad saw, utusan Allah yang terakhir, ilmu itu diwarisi oleh para ulama yang benar. Namun ilmu Nabawi ini semakin langka dan susah diperolehi kerana semakin sedikitnya mereka yang benar-benar menjadi ulama’ pewaris Nabi ini.

Sejak di zaman Nabi lagi terdapat manusia-manusia yang degil dan takbur tidak mempedulikan bahkan menentang kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah saw. Semakin lama semakin ramai orang yang mengikut jejak langkah Iblis yang enggan tunduk kepada kebenaran.. Golongan yang angkuh, merasa dirinya benar meskipun sebenarnya jahil dan keliru. Golongan yang sengaja memilih jalan lain dari yang diambil oleh orang-orang beriman. Golongan yang menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan keimanan. Golongan inilah yang akhirnya membentuk kelompok Syi’ah, Khawarij, Qadariyyah, Mu’tazilah, Falasifah dan sebagainya.
Pada hari ini kekeliruan semakin banyak berlaku dengan kemunculan pelbagai fahaman yang pada intinya menolak autoriti ulama’. Atas nama kebebasan bersuara dan kebebasan individu untuk mengikuti apa sahaja pandangan yang dipilihnya. Mereka yakin bahawa setiap manusia mampu berfikir sendiri, menentukan mana yang benar dan mana yang salah tanpa perlu kepada panduan dan bimbingan para ulama’ dalam mencari kebenaran.
Di samping itu terdapat juga segolongan orang yang memperkecilkan sumbangan ulama’ besar terdahulu, imam-imam mazhab, para mujtahidin, dan menganggap dirinya setara dengan mereka, lalu menyalahkan pandangan ulama’ besar ini dan memberikan pandangan yang bertentangan dengan pandangan mereka. Walhal mereka bukanlah ulama’ yang benar-benar terlatih, tidak memiliki persediaan yang cukup untuk mampu berijtihad dan membimbing umat Islam. Akibatnya umat Islam keliru siapakah yang sebenarnya patut dirujuk dan diikuti.

Kedua sikap di atas, baik yang menolak autoriti ulama’ mahupun yang memperkecilkan sumbangan mereka, menunjukkan kepada kita bahawa permasalahan perpecahan ini adalah permasalahan yang dalam dan rumit. Ia bukan hanya berkaitan dengan sikap tetapi juga mempunyai akarnya pada persoalan akhlak dan hati manusia. Kerana itu menangani perpecahan bukanlah persoalan yang mudah, selagi mana perkara asasi tidak ditangani dan penyakit hati tidak diubati ia akan terus berkekalan.
Dalam hal ini penting untuk kita fahami idea besar yang dikemukakan oleh SMN al-Attas bahawa masalah utama umat Islam antara lain adalah masalah kehilangan adab. Adab menurut al-Attas adalah disiplin akli, jasadi, dan rohani, yang membolehkan seseorang itu mengakui dan mengiktiraf akan adanya tempat yang tepat bagi setiap sesuatu.

Kefahaman umum bahawa adab hanyalah sopan santun dan budi bahasa adalah kefahaman yang dangkal oleh itu perlu diperbaiki. Adab memainkan peranan yang penting untuk melahirkan manusia-manusia yang bertamadun, berakhlak mulia, menjadi pemimpin-pemimpin yang adil dan baik yang dapat menjamin kesejahteraan masyarakat.
Manifestasi kehilangan adab dapat dilihat pada semakin ramainya orang memperkatakan sesuatu yang bukan bidangnya, mengangkat atau meletakkan seseorang, termasuk diri sendiri, bukan pada tempatnya. Perkara asas ini memberi kesan yang besar, penceramah biasa dianggap sebagai ulama’ besar, dan ulama’ besar disamatarafkan dengan yang lain. Perkara kecil diperbesarkan dan perkara besar diperkecilkan. Institusi ulama’ dihina. Karya-karya besar para ulama’ silam yang mesti dimanfaatkan oleh umat Islam diganti dengan karya-karya baru yang cetek dan saduran yang kadang-kadang mengelirukan. Seruan agama bahawa umat Islam perlu menghormati dan memandang tinggi terhadap ilmu dan ilmuwan akhirnya tidak diendahkan.
Masalah yang sama berlaku dalam pergerakan Islam, sikap taassub dan fanatik kepada jamaah sendiri menyebabkan seseorang menganggap hanya kumpulannya sahaja yang benar sedangkan kumpulan lain dilihat menyeleweng dan tersasar. Sesuatu pandangan ditolak sepenuhnya hanya kerana ianya datang daripada pihak luar dan bukan dari kalangan orang yang mendokong kumpulannya. Perbezaan politik, jamaah, dan kumpulan menjadi sebab berlakunya perpecahan, walhal perbezaan dan kepelbagaian adalah sesuatu yang tabi’i dan perlu dilihat sebagai satu rahmat.

Memiliki pandangan dan pendekatan yang berbeza tidaklah salah. Yang salah adalah mempertahankan kepalsuan, kekeliruan, dan kesesatan atas nama apapun, hatta atas nama kebebasan dan kepelbagaian itu sendiri. Sesuatu pandangan mesti dinilai kekuatan hujahnya dan bukti-bukti yang dibawakannya. Kebenaran mestilah diterima meskipun ia datang dari orang yang tidak disenangi dan berada di luar kelompok kita.

Umat Islam adalah umpama satu jasad, demikian disebutkan dalam suatu hadith Nabi, dan jasad itu memiliki banyak anggota, setiap satunya memiliki peranan dan tanggungjawab masing-masing oleh kerananya tidak sewajarnya satu anggota memperkecilkan peranan dan tugas anggota lainnya. Sebagai satu jasad setiap anggota diatur dan dikawal oleh akal dan akal melapor kepada hati, dan hati pula akan bertanggungjawab kepada Allah SWT, Tuhan yang menciptakan segalanya. Malapetaka akan muncul jika mulut ingin mengambil peranan akal, atau kaki ingin mengambil peranan tangan. Keadaan di mana setiap sesuatu itu berada pada tempatnya adalah keadilan, dan pengakuan serta kepatuhan pada adanya tempat yang tepat bagi sesuatu adalah adab.

Penulis adalah Dosen CASIS UTM Malaysia

Last modified: 25/05/2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *